Sebelum kita belajar Bahasa Jepun dengan lebih mendalam, kita seharusnya mengenali huruf asas Bahasa Jepun.
Sama seperti kita hendak mempelajari bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, kita kena kenal a,b,c dahulu sebelum belajar membaca dan menulis.
Untuk Bahasa Jepun, huruf asasnya dikenali sebagai Hiragana. Terdapat 46 huruf Hiragana yang dikenali sebagai Gojūon (五十音) atau secara literal bermaksud 50 bunyi.
Ia disebut 50 kerana 46 huruf Hiragana Gojūon disusun dalam jadual 10×5. Cuba tengok jadual tersebut dibawah.
Baris melintang yang pertama disebut sebagai baris vokal (AIUEO), diikuti baris K, baris S, baris T dan seterusnya hinggalah baris W diikuti dengan huruf ん (n).
Pecahan Hiragana Gojūon
Daripada huruf Gojūon ini, terdapat beberapa pecahan huruf lain iaitu,
Dakuon (濁音) – 20 jenis
Dakuon atau bahasa literalnya ialah bunyi keruh, ialah 20 huruf hiragana yang ditambah dengan 2 garis pendek di tepi kanan huruf.
Huruf hiragana yang termasuk dalam kategori Dakuon terdiri daripada baris K, baris S, baris T, dan baris H. Apabila tanda garis diletak, ia akan berubah bunyi. Contohnya bunyi pada baris K (KA, KI, KU, KE, KO) akan menjadi bunyi G (GA, GI, GU, GE, GO).
Begitu juga baris lain seperti baris S menjadi Z, baris T menjadi D, dan baris H menjadi B. Cuba tengok carta dibawah,
Handakuon (半濁音) – 5 jenis
Handakuon atau bahasa literalnya bunyi separa keruh, cuma mempunyai 5 huruf hiragana yang ditambah dengan bulat kecil di tepi kanan huruf.
Huruf hiragana yang termasuk dalam kategori Handakuon ialah daripada baris H sahaja. Apabila tanda bulat diletak, H akan bertukar bunyi menjadi P.
Yōon (拗音) – 36 jenis
Yōon ialah 36 huruf hiragana yang telah ditambah dengan huruf ゃ(ya), ゅ(yu), dan ょ (yo) di kanan huruf dan mengubah cara bacaannya. Perhatikan ia berbentuk kecil. Berbeza dengan や, ゆ, よ yang bersaiz besar.
Jom tengok apa beza huruf kecil ゃ(ya), ゅ(yu), dan ょ (yo) denganや, ゆ, よ yang bersaiz besar. Kita ambil huruf き (ki),
Apabila ゃ (ya – kecil) ditambah pada き (ki), ia akan menjadi きゃ kya. Ia tidak dibaca sebagai きや (kiya) sebaliknya konsonan i dibuang lalu dibaca sebagai きゃ (kya).
Kalau ゅ kecil ditambah pada huruf き pula akan menjadikan sebutannya きゅ (kyu). Bukan きゆ (kiyu).
Tambahan huruf ょ kecil pada き pula menjadikan ia きょ (kyo). Bukan きよ (kiyo).
Huruf-huruf hiragana yang termasuk dalam kategori Yōon adalah daripada huruf hiragana berkonsonan i sahaja iaitu き(ki), し(shi), ち(chi), に(ni), ひ(hi), み(mi), り(ri), ぎ(gi), じ(ji), ぢ(ji), び(bi), dan ぴ(pi).
Lihat bagaimana huruf kecil ゃ(ya), ゅ(yu), dan ょ (yo) mengubah sebutan huruf hiragana berkonsonan i pada carta dibawah,
Sokuon (促音)
Sokuon ialah bunyi yang seakan terhenti disebabkan penambahan huruf っ(tsu) kecil, sambil menekankan bunyi konsonan selepasnya. Kalau korang belajar tajwid, dia macam sabdu. Hehe.
Contohnya,
がっこう (gakkou) dibaca gak-kou.
BM: Sekolah
BUKAN ‘ga TSU ko’. Perhatikan ia adalah っ(tsu) kecil bukan つ biasa
Chōon (長音)
Chōon secara literal bermaksud bunyi panjang. Ianya dihasilkan dengan penambahan huruf ekstra iaitu huruf vokal a, e, i, o, u bersaiz kecil pada huruf konsonan hiragana yang lain.
Contohnya,
はぁ~
Haa~
BM: huh… (mengeluh)
Sebutan ‘aa’ adalah dipanjangkan kerana penambahan huruf ekstra ぁ (a) kecil. Perhatikan ぁ adalah kecil berbanding あ yang biasa.
Kaedah Chōon (penambahan huruf vokal bentuk kecil) banyak digunakan untuk mengadaptasikan *bunyi asing yang tidak terdapat di dalam bahasa Jepun.
*Nota kaki:
Kebanyakan perkataan asing adalah menggunakan Katakana. Kita akan belajar selepas kita mengenali huruf Hiragana, okay!
Namun terdapat juga beberapa perkataan Jepun yang memerlukan penambahan vokal ini. Saya akan ceritakan lebih lanjut pada nota Chōon, okay! Ini hanya nak memberi gambaran.
Baiklah! Itu sahaja yang korang perlu tahu untuk hiragana. Kita akan belajar kesemua Gojūon dan juga pecahan yang lain dengan lebih mendalam pada nota seterusnya. Jadi jangan risau kalau tak faham sekarang!
Ganbatte!
Bersedia untuk belajar hiragana? Jom tekan butang di bawah!